Lagu raya malar segar diadun sempurna
© Irwandy Manzir/Wikimedia Commons
Music

10 Lagu Hari Raya Yang Kita Tidak Pernah Jemu

Kami mencari mengapa lagu-lagu Aidilfitri ini kekal popular dan malar segar.
Written by M. Zulkifli
5 min readPublished on
Lagu-lagu klasik kegemaran Malaysia

Lagu-lagu klasik kegemaran Malaysia

© Michelle Lim

Hari Raya semakin hampir. Seiring dengan tradisi, pendengar radio dan orang ramai yang membeli-belah pasti dihidangkan dengan lagu-lagu Aidilfitri, terutama lagu-lagu malar segar yang tidak lapuk dek zaman dan digemari oleh rakyat Malaysia dari generasi ke generasi. Lagu-lagu halwa telinga ini bersama-sama juadah lazat, duit raya dan tradisi rumah terbuka menjadikan sambutan Aidilfitri kita sesuatu yang unik.
Tetapi apakah yang membuatkan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam pelbagai genre ini kekal popular? Kami mendapatkan pandangan rakan-rakan industri tentang 10 lagu Hari Raya yang indah ini…

Balik Kampung (Sudirman)

Komposer dan penerbit Zul Mahat mengimbas kembali ketandusan lagu-lagu Raya ketika beliau membesar. Oleh kerana itu, lagu-lagu yang acap kali didendangkan di radio kekal di minda pendengar. Antaranya lagu tema balik kampung Allahyarham Sudirman. Liriknya jelas menggambarkan keceriaan perjalanan balik ke kampung yang indah dan damai. “Lagu ini membuatkan kita rasa tak sabar pulang ke kampung berjumpa datuk nenek dan keluarga di sana,“ kata Zul. “Ia juga senang dinyanyikan bersama-sama!”

Dendang Perantau (P.Ramlee)

Antara lagu Raya terawal ialah lagu gubahan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ini dengan lirik oleh S. Sudamarji. Dinyanyikan dengan sepenuh jiwa, lagu ini menceritakan tentang jejaka yang meninggalkan kampung halaman dan merindui orang tersayang di Aidilfitri. “Lagu ini mengusik hati ramai orang,” kata artis hip hop, Altimet. “Cetusan emosinya diluahkan dari generasi ke generasi seterusnya.” Pasti sukar untuk mereka di perantauan menahan sebak mendengar ‘Dendang Perantau’ dimainkan di pagi Aidilfitri.

Seloka Hari Raya (Uji Rashid & Hail Amir)

Menampilkan dua bintang ikonik dari era lalu, Uji Rashid dan Hail Amir, ‘Seloka Hari Raya’ mempunyai melodi yang menaikkan semangat dan lirik yang padat dengan pesanan berguna. “Suara unik mereka saling melengkapi antara satu sama lain,” kata vokalis popular 90-an, Kamal. “Ianya sebuah lagu yang menarik dan mengasyikkan. Kita tak rasa jemu mendengarnya.”

Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir)

Lagu in ialah karya kerohanian M. Nasir

Lagu in ialah karya kerohanian M. Nasir

© Irwandy Mazwir/Wikimedia Commons

Lagu-lagu Raya juga membangkitkan perasaan berbeza bergantung kepada di mana kita berada pertama kali mendengarnya. Mohammad ‘Izzee’ Sulaiman, vokalis kumpulan 90-an Shades berkata, “Sebagai contoh, ‘Suasana Hari Raya’ oleh Anuar & Elina mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak bagi saya, manakala lagu ‘Satu Hari Di Hari Raya’ oleh M. Nasir mengingatkan saya kepada aspek kerohanian ketika baru memasuki zaman remaja.” Sesungguhnya, karya agung mendayu ini memujuk pendengar untuk memikirkan tentang rahmat yang Esa dan keindahan syukur dan keinsafan.

Selamat Hari Raya (Ahmad Jais)

Dengan intro tersendiri yang menggunakan instrumen tiupan, lagu Raya nyanyian Ahmad Jais ini merupakan antara lagu yang paling banyak diminta di musim Raya, menurut deejay Suria FM, Halim Othman. “Lagu ini juga lagu kegemaran peribadi saya,” tambah beliau. “Lagu ini jelas menggambarkan perasaan kita di Hari Raya tanpa terlampau sedih atau sentimental. Oleh kerana itu, ia amat istimewa di hati peminat.”

Suasana Hari Raya (Anuar & Elina)

Anda pasti tersenyum mendengar intro lagu Raya ini. Rentak keraiannya mudah sahaja menambat hati pendengar. Faktor utama ialah suara muda remaja Anuar & Elina. “Saya masih ingat menonton mereka menyanyi dan menari ketika mereka masih kanak-kanak berbaju melayu dan baju kurung dan saya terus terpukau,” kata penulis lirik Shah Shamshiri. “Ketika itu zaman 80-an. Tidak ramai bakat kanak-kanak yang ada. Mereka benar-benar mencuri perhatian saya. Selain daripada suara, liriknya tentang kejayaan melengkapkan puasa dan masa untuk bergembira di Aidilfitri tepat sekali!”

Sesuci Lebaran (Siti Nurhaliza)

Lagu raya malar segar diadun sempurna

Lagu raya malar segar diadun sempurna

© Irwandy Manzir/Wikimedia Commons

Kepelbagaian genre lagu-lagu Raya sangat menakjubkan. Lagu Ratu Pop Datuk Siti Nurhaliza, ‘Sesuci Lebaran’, muncul ketika kebangkitan Irama Malaysia yang diterajui oleh Siti sendiri dan Noraniza Idris. “Masa kemunculannya sesuai,” kata komposer dan penerbit veteran, Johan Nawawi. “Ketika lagu ini berkumandang di radio, para pendengar terus terpesona dengan rentak keraiannya serta suara unik dan lenggok Siti.

Menjelang Hari Raya (DJ Dave)

Lagu Raya dendangan DJ Dave ini lain daripada yang lain. “Bayangkan, lagu Raya dengan susunan muzik disko!” kata komposer Mohariz Yaakup. “Tiada siapa pernah terfikir hendak buat begini. Kalau hendak difikirkan, mana ada kaitan antara disko dan Hari Raya, tetapi lagu ini menjadi!” Walaupun ianya tidak akan membuat anda berdansa sampai ke pagi, ‘Menjelang’ pasti akan membuatkan anda menghentakkan kaki mengikut irama ketika menikmati jamuan Raya nanti.

Cahaya Di Aidilfitri (Black Dog Bone)

“Saya rasa semua orang sukakan "Cahaya Di Aidilfitri" kerana ianya terbit dari zaman kegemilangan lagu-lagu Raya,” kata penyanyi Singapura Imran Ajmain. “Melodi kord-minor sedap didengari. Semua penggemar muzik rock dari era 70-an sehingga sekarang pasti menghargai korus dan melodinya.” Lagu gubahan S. Atan ini tidak dinafikan antara yang paling menusuk ke jiwa.

Suasana Hari Raya (Sharifah Aini)

Senarai ini tidak lengkap tanpa menyebut lagu klasik yang menampilkan suara emas Allahyarham Dato’ Sharifah Aini. Bait-bait tentang rendang, ketupat dan kuih-muih sudah cukup untuk membuatkan kita teruja untuk menyambut Adidilfitri. “Melodi dan gubahan lagu ini agak mudah, tetapi ianya sangat bermakna kepada semua yang telah sebulan puasa.” menurut Kamal. “Dan tiada siapa mampu mendendangkannya sebaik Sharifah Aini.”
Dan dengan itu, kami mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Redbull.my!
Bermula 1 Mei 2019 hingga 30 Jun 2019, kongsi ikrar Ramadan atau Raya melalui kempen Red Bull My Raya Pledge. Ikrar yang paling menarik bakal memenangi hadiah Rumah Terbuka Paling Meriah tajaan Red Bull! Layari redbull.my/myrayapledge untuk butiran lanjut.
Dapatkan cerita terkini terus ke inbox anda menerusi Red Bull Newsletter.