Faizal Tahir
© Irwandy Mazwir/Wikimedia Commons
Music

7 lagu Malaysia yang membakar semangat

Barisan gubahan seni nada ini tidak pernah gagal untuk memberi inspirasi dan menyuntik semangat ke dalam sanubari kita
Written by Ditulis oleh M. Zulkifli. Diterjemahkan oleh Anita Hadi
3 min readPublished on
Muzik boleh mencetus pelbagai emosi yang berbeza. Lirik, gubahan lagu dan persembahan artis berupaya untuk mencetuskan perasaan sedih, keingkaran dan juga memberi suntikan semangat serta meningkatkan adrenalin. Sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang sedang berlangsung bulan ini (dan Hari Merdeka pada hujung bulan), kami telah berbicara dengan beberapa personaliti hiburan tempatan mengenai lagu-lagu yang sesuai dimainkan di arena-arena pertandingan bagi meraikan usaha dan pencapaian atlet Malaysia.

‘Fikirkan Boleh’ oleh Metropolitan

Ini adalah lagu yang memulakan segalanya. Apabila sorakan “Malaysia Boleh” digunakan buat pertama kalinya di arena-arena sukan di seluruh negara, lagu inilah yang paling kerap dimainkan dengan lantangnya. “Liriknya sangat memberi inspirasi,” kata Affa dari kumpulan hip-hop lagenda NICO G. “Bahkan, dalam kehidupan seharian kita, lagu ini benar-benar berupaya untuk membangkitkan kita dari perasaan kecewa dan mendorong kita untuk berusaha dengan lebih gigih dalam apa jua yang sedang kita lakukan.”

‘Gemuruh’ oleh Faizal Tahir

Diterbitkan pada tahun 2007, ‘Gemuruh’ merupakan sebuah lagu yang wajib dimainkan bagi menyemarakkan suasana. Personaliti TV dan penerbit, Ally Iskandar berkata, “Ia adalah lagu pembakar semangat kegemaran saya sepanjang masa. Ada sesuatu yang istimewa tentang lirik ‘dari puncak menuju ke angkasa’. Ia menyatakan bahawa mencapai kemuncak hanyalah permulaan bagi perjalanan yang sebenarnya tidak mempunyai batasan. Itu adalah maksud kejayaan yang sebenar.”

‘Gemilang’ oleh Jaclyn Victor

Anda sudah boleh bayangkan turunnya ‘hujan konfeti’ semasa Jaclyn Victor menyanyi bahagian bernada tinggi lagu yang menyemarakkan semangat ini. “Lagu ini tidak pernah gagal untuk meningkatkan cinta saya pada Malaysia serta untuk mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang,” kata mantan juruhebah radio, Kudsia Kahar. “Melodi, lirik dan suara Jac yang menakjubkan… saya tergamam bila mendengar (lagu tersebut) buat pertama kali.”

‘Lagenda’ oleh Sheila Majid

Digubah sebagai tanda penghormatan untuk seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Lagenda’ juga memberi inspirasi untuk kita mengharungi segala cabaran yang dihadapi. “Lagu ini penuh dengan emosi dan membuatkan kita berfikir mengenai mereka yang sudah mencapai kejayaan dan meninggalkan legasi mereka,” kata artis rakaman dan jurulatih vokal, Vince Chong. “Lagenda’ juga menyentuh perasaan dan menyampaikan mesej yang sangat positif kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan.”

‘Standing In The Eyes Of The World’ oleh Ella

Hampir selepas 20 tahun, ‘Standing In The Eyes’ masih berupaya meremangkan bulu roma segenap rakyat Malaysia setiap kali ia dimainkan. Rendisi Ella sangat sempurna dan mempunyai perasaan yang sangat mendalam. “Bagi saya, lagu ini membawa erti yang besar kepada orang ramai,” kata gitaris, komposer dan artis rakaman, Az Samad. “Perasaan mengenai permulaan yang kecil, usaha yang membawa kepada detik berada di mata dunia adalah sesuatu yang dapat dihayati oleh orang ramai. Lagu ini telah digubah khas untuk mencetuskan perasaan tersebut.”

‘Mentera Semerah Padi’ oleh M.Nasir

Menampilkan instrumentasi tradisional dan korus yang bertenaga, lagu M. Nasir ini adalah salah satu hasil nukilan yang paling hebat dihasilkan dan dipersembahkan oleh beliau. “Ia membuatkan kita bersemangat untuk bangkit dan berjuang untuk mencapai apa jua yang diimpikan,” menurut deejay veteran Suria FM, Halim Othman. “Liriknya yang puitis memberi inspirasi dan sememangnya sentuhan emas M. Nasir.”

‘Negaraku’ oleh Joe Flizzow, SonaOne, Altimet & Faizal Tahir

Lagu patriotik ini menggesa kita untuk memberikan yang terbaik buat tanah air kita, Malaysia, diabadikan melalui bait lirik “Negaraku, negaraku, ku beri sepenuhnya…” Diterbitkan pada 2016, kolaborasi antara tiga rapper berbakat, Joe Flizzow, SonaOne, Altimet, serta Faizal Tahir, sememangnya menjadikan lagu ini sebagai pembakar semangat yang sejati. “Anda boleh merasai keikhlasan lagu ini,” kata deejay dan pengarah kreatif, Suffian Rahman. “Ia adalah sebuah lagu yang mampu menyatukan kita semua.”
Bermula 1 Mei 2019 hingga 30 Jun 2019, kongsi ikrar Ramadan atau Raya melalui kempen Red Bull My Raya Pledge. Ikrar yang paling menarik bakal memenangi hadiah Rumah Terbuka Paling Meriah tajaan Red Bull! Layari redbull.my/myrayapledge untuk butiran lanjut.